Selasa, 12 Mei 2009

KEPRIHATINAN UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU.


Pihak kerajaan Negeri Johor yang diwakili oleh Tuan Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman (Timbalan Pengarah Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor,) serta Encik Fadhly Suffian bin Laili (Penolong Setiausaha Cawangan Perumahan Negeri Johor) dan UMNO Bahagian Johor Bahru di bawah kepimpinan YB Dato’ Shahrir bin Abdul Samad serta AJK telah mengadakan taklimat berkaitan dengan perpindahan penduduk kampung setinggan yang terlibat didalam projek EDL di kawasan majidee baru pada 10 hb Mei di Hotel Mutiara Johor Bahru.

Seramai 2,932 keluarga dari perkampungan setinggan Desa Melayu, Desa Makmur, Desa Jaya, Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad, Kampung Tengah, Kampung Belantik, Kampung Tok Siak dan Kampung Bakar Batu perlu ditempatkan semula berikutan pembinaan projek Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (Johor Bahru Eastern Dispersal Link - JB EDL) bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di bandaraya Johor Bahru.

Lebuhraya sepanjang 8.1 km yang dibina oleh Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) dengan Tebrau Teguh Berhad (anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Negeri Johor) akan menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Iskandar dengan Lebuhraya Utara-Selatan di Pandan yang dijangka siap pada tahun 2012.
Apa yang menarik disini ialah dari segi kemudahan untuk keselesaan penduduk yang terlibat sentiasa didalam perhatian UMNO Bahagian Johor Bahru. Segala aspek yang melibatkan keselesaan penduduk di ambil perhatian samada dari segi keluasan binaan hingga ke bentuk rumah yang bakal dibina tidak lupa juga kemudahan-kemudahan awam yang lain turut diambil perhatian yang serius.

Disi saya ingin mengambil peluang untuk berpesan kepada penduduk yang terlibat berikanlah kerjasama yang baik dan keyakinan yang penuh kepada pihak bahagian untuk bersama-sama dalam menguruskan hal ini. Penduduk hendaklah bersatu padu dan janganlah terpedaya dengan segala macam berita yang tak sedap didengar. Ingatlah jangan jadi bak kata orang tua-tua pisang berbuah dua kali seperti pembangunan Taman Larkin Perdana.

Ahad, 10 Mei 2009

ULANG TAHUN UMNO YANG KE-63

UMNO Cawangan Kg Melayu Dewata mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke -63 pada hari ini. Semuga parti terus berjuang demi Agama, bangsa dan Negara.

SELAMAT HARI IBU.

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat hari ibu kepada semua kaum ibu diseluruh dunia yang jatuh pada 10 hb Mei setiap tahun.

Sesungguhnya pengorbanan kaum ibu adalah salah satu contoh terbaik didalam kehidupan kita seharian. Oleh itu sekali lagi "selamat menyambut hari ibu" .

Jumaat, 8 Mei 2009

JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG

Apabila kita hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara tidak boleh lari daripada sikap ambil tahu apa yang sedang berlaku disekeliling kita.

Sedar atau tak sedar atau sengaja tak mau sedar kita adalah salah satu komponen dalam masyarakat. Sikap jangan jaga tepi kain orang janganlah di tinggalkan semua, kena juga ambil sikap jaga tepi kain orang memandangkan banyak berlaku kepincangan dalam masyarakat terutama melibatkan jenayah ragut dan mat rempit.

Kenapa insiden ini berlaku ditengah-tengah masyarakat kita ialah kerana sikap jangan jaga tepi kain orang tu mesih tebal, cuba kita jaga sikit tepi kain orang dengan ambil tahu sikit aktiviti anak-anak muda jiran kita tetapi ingat tepi kain kita juga kena jaga dengan rapi terlebih dahulu.

Khamis, 7 Mei 2009

PERLANTIKAN AHLI MAJLIS MBJB 2009-2010.

Umno Cawangan Kampung Melayu Dewata mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Majlis MBJB yang baru dilantik dan telah mengangkat sumpah jawatan. Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya ikhlas melaksanakan sesuatu kerja atau membuat kebajikan membantu rakyat dan tidak hanya berfikir untuk kepentingan individu sahaja. Semua ahli majlis PBT BN memainkan peranan besar dalam memantapkan lagi sesuatu parti supaya semua rakyat yakin dengan pentadbiran yang digerakkan oleh kerajaan.Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat sebaik mungkin kerana setiap tugasan itu merupakan kepercayaan yang dipertaruhkan oleh masyarakat untuk mereka. Kerana kepercayaan rakyatlah kita masih lagi kekal mentadbir kerajaan walaupun kita hilang beberapa kerusi di dewan Undangan Negeri dan suara dua pertiga di Dewan Rakyat. Jadi jangan mempersia-siakan kepercayaan itu. Selamat menjalankan tugas.

PENUBUHAN JMB LARKIN PERDANA 3, JOHOR BAHRU.

Pada 28hb Februari 2009 yang lepas, atas usaha gigih semua peringkat kepimpinan yang ada di Taman Larkin Perdana 3 bersama dengan Pesuruhjaya bangunan MBJB dan Pemaju telah terbentuk dengan rasminya Badan Pengurusan Bersama Larkin Perdana 3 sejajar dengan kehendak Akta Bangunan dan harta bersama ( Penyelenggaraan dan Pengurusan ) 2007 { Akta 663 } .
Dengan terbentuknya badan ini apa yang diharapkan semua aspek pengurusan harta bersama dapat ditingkatkan dalam kawasan ini. Antara bidang tugas badan ini ialah:-
1. Mengumpulkan Dana bagi tujuan pengurusan. Dana adalah dari kutipan pemilik petak iaitu unit kediaman sebanyak RM30.00 dan unit kedai RM40.00 sebulan.
2. Mengurus dan menyenggara harta bersama supaya sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan sempurna.
3. Menginsurankan bangunan terhadap kebakaran dan lain-lain risiko.
4. Mematuhi arahan pihak berkuasa mengenai kacau ganggu dan pembaikan keatas harta bersama.
5. Menyedia dan menyenggara suatu daftar pembeli bagi bangunan yang di uruskan.
6. Menyimpan satu rekod undang-undang kecil dan sesalinan di majukan kepada Pesuruhjaya Bangunan.
7. Mengemaskini apa-apa perubahan dalam daftar strata.
8. Menyenggara apa-apa lekapan dan lengkapan ( termasuk Lif ) supaya sentiasa dalam keadaan baik.
9. Menyenggara, membaiki dan memperbaharui pembentungan. paip, dawai, kabel dan saluran yang terdapat di atas lot berkenaan ( jika perlu).
10. Membuka dan menyenggara Kumpulan Wang Penjelas ( Sinking Fund ). selain KWPB.
11. Melakukan apa-apa perkara lain yang perlu bagi memastikan penyenggaraan dan pengurusan bangunan sempurna.

Rabu, 6 Mei 2009

LATAR BELAKANG KAMPUNG.















Rumah Pangsa Taman Larkin Perdana















Surau An Nur Taman Larkin Perdana

Rasa tidak kena sekiranya latar belakang kampung / taman tidak di catatkan disini sebagai bahan rujukan dan juga untuk pengetahuan generasi yang baru . Asal kampung adalah sebuah penempatan setinggan di Bandaraya Johor Bahru. Dalam proses pembangunan semula atau hasrat kerajaan Johor untuk sasaran sifar setinggan maka kampung kami adalah yang terawal didalam usahanya.

Usaha telah di lakukan pada tahun 1994 dengan projek pengswastaan di mana syarikat Ban Jaya Sdn Bhd telah diberikan kepercayaan untuk melaksanakanya. Peringkat awal berjalan dengan baik dalam semua aspek termasuk agihan rumah kepada yang layak juga telah diteliti agar tidak ada seorang pun yang tercicir.

Malangnya kegawatan ekonomi pada tahun 1997/ 1998 , maka berlakulah keadaan yang diluar kawalan. Ekoran daripada itu banyaklah kemudahan awam dan prasarana untuk kemudahan awam terpaksa di korbankan oleh pihak pemaju dengan alasan kegawatan ekonomi tetapi pihak pemaju terus nampak bergaya dalam segala tindakannya.

Atas daya usaha pihak cawangan dengan bantuan UMNO Bahagian Johor Bahru di bawah kepimpinan YB Dato' Shahrir bin Abdul Samad maka hari ini kita telah nampak sedikit demi sedikit kepincangan ini dapat di atasi dengan bantuan kerajaan negeri sebagai contoh siapnya pembinaan sebuah Surau yang diberi nama Surau An Nur Taman Larkin Perdana dan juga menggerakkan semula penyelenggaraan kawasan sekitar kediaman/bangunan. Kami masih lagi memperjuangkan untuk pembaikan bumbung, cat semula bangunan dan membaik pulih kerosakan-kerosakan kecil yang tidak dilaksanakan oleh pihak pemaju. apa yang kami harapkan penduduk akan mendapat faedah dan kami bolehlah tinggal dalam suasana yang harmoni dan hidup didalam kejiranan yang utuh.